Pages

Iklan

Followers

Monday, July 4, 2011

PENCEMARAN AIR, UDARA DAN BUNYI


Pengenalan    
                                                                                                                                                            
Arus pembangunan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah mencetuskan pelbagai situasi . Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial telah memberikan taraf hidup yang selesa kepada rakyat dan menaikkan imej negara di kaca mata dunia. Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat. Sebagai sebuah Negara membangun, Malaysia sedang mengalami proses pembangunan yang pesat. Pada penghujung abad ke-20 ini, banyak laporan menunjukkan betapa keadaan alam sekitar di seluruh dunia semakin parah tercemar. Pencemaran itu berlaku di segenap pelosok sama ada di Negara membangun apa lagi di Negara maju. 



Krisis tersebut telah memberi kesan langsung yang negatif terhadap seluruh komponen mikro serta makro alam sekitar. Masalah pencemaran bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia. Berlakunya pencemaran telah menyebabkan pelbagai masalah lain terutamanya masalah kesihatan dan ancaman terhadap manusia dan alam sekitar. Pada asasnya, kemerosotan kualiti udara, air dan kebisingan adalah berkait rapat dengan pembangunan suatu jenis guna tanah. Contohnya pembangunan industri berat yang berisiko tinggi berkemungkinan menjadi punca kepada pencemaran udara, air dan kebisingan. Berbagai isu dan masalah alam sekitar sering dihadapi oleh penduduk di terutamanya yang berkaitan dengan pencemaran air, udara dan kebisingan. Tanpa melakukan pengawalan dan penyelesaian masalah pencemaran alam sekitar ia boleh mengakibatkan kemudaratan dari segi kesihatan dan menjejaskan kualiti kehidupan kita. Di sini, akan dibincangkan tentang salah satu isu alam sekitar yang berlaku di Negara kita iaitu pencemaran air, bunyi dan udara.





PENCEMARAN AIR

Pengenalan

Air merupakan sumber yang penting bagi kehidupan manusia. Air merupakan sumber semulajadi kedua terpenting selepas oksigen. Tanpa air dunia akan menjadi sebuah planet yang tidak bernyawa. 3/4 bahagian bumi diliputi oleh air dan lebih 2/3 daripada berat badan manusia adalah air. Pada amnya, seorang manusia menggunakan 1,000 liter air setahun sebagai minuman. Air memang mutlak diperlukan dalam kehidupan manusia dan mahluk hidup lainnya. Tanpa air kehidupan tidak dapat berlangsung. Demikian juga dalam kehidupan kita sehari-hari, air sangat diperlukan untuk berbagai kegiatan di dalam rumah tangga, juga untuk pertanian, pengangkutan serta rekreasi.

Di dalam industri, air digunakan antara lain sebagai bahan pengolah, pendingin dan janakuasa tenaga. Air merupakan pelarut yang baik tetapi selalu dicemar dengan kandungan berbagai zat terlarut mahupun zat tidak terlarut serta mengandungi mikroorganisme. Apabila kandungan berbagai zat mahupun mikroorganisme yang terdapat di dalam air melebihi tahap yang diperbolehkan, maka kualiti air akan terganggu sehingga tidak lagi boleh digunakan untuk kegunaan pelbagai keperluan samada untuk air minum, mandi, mencuci atau keperluan lainya. Air yang terganggu kualiti ini dikatakan sebagai air yang tercemar. Sebenarnya, warna dan bau air dapat memberitahu kita apa yang sedang berlaku terhadapnya. Misalnya seperti air berwarna hijau mengambarkan terdapatnya tumbuhan kecil yang dinamakan rumpair yang tumbuh di dalamnya. Manakala air berlumpur menunjukkan terdapat kandungan kelodakan atau mendapan yang tinggi menyebabkan ikan sukar bernafas. Air yang mempunyai lapisan berkilau pula memberi gambaran bahawa berlaku tumpahan minyak di permukaan air tersebut. Selain itu, kita juga dapat melihat kadangkala air itu berbuih dan ini menunjukkan kemungkinan sabun dari rumah atau kilang yang mengalir ke dalamnya. Kita juga sering kali melihat air yang mengalir mempunyai lapisan kuning jingga atau kemerahan dan ini berkemungkinan disebabkan oleh pembuangan bahan pencemar oleh kilang ke dalam sungai.

Punca Pencemaran Air

Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata telah membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Pelbagai faktor atau punca berlakunya pencemaran air. Pengusaha kilang umpamanya, berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah,membuang sisa kilang ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap persekitaran. Selain itu, kekurangan pengetahuan juga menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan yang telah ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar. Masalah ini harus dipandang serius kerana sungai merupakan sumber air yang paling utama. Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara turut tercemar .
Sisa bahan buangan kilang seperti sisatosid yang dibuang ke dalam sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan.Kumuhan kilang - kebanyakan kumuhan kilang seperti  sisa toksid dibuang ke sungai atau laut. Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat dan kadang kala kilang juga membuang bahan beracun ke dalam sungai. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga akan dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.
Sikap individu itu sendiri menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran air di negara kita. Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis sering kali dilakukan oleh sesetengah individu sehingga lupa tanggungjawab dan kepentingan menjaga alam sekitar.  


Penerokaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian juga menyebabkan hakisan tanah berlaku dan ini seterusnya  akan mengakibatkan mendakan berlaku. Mendakan ini akan mencetekkan sungai dan air sungai menjadi keruh. Penerokaan juga membantu menyumbang ke arah pencemaran air. Ini adalah kerana penerokaan yang dijalankan sudah pasti menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah runtuh akan masuk ke dalam sungai lalu mendakan berlaku. Mendakan ini bukan sahaja akan mencetekkan lagi paras air sungai tetapi akan mengakibatkan berlakunya banjir. Hakikatnya pelbagai punca berlakunya pencemaran adalah disebabkan oleh faktor masyarakat kita sendiri mahupun dari pihak-pihak tertentu yang tidak peka pada keadaan sekeliling dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira sebab dan akibat yang akan berlaku akibat tindakan mereka itu.


Kesan Pencemaran Air

Pencemaran air yang berlaku memberi kesan bukan sahaja akan dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan yang lain. Kesan kepada manusia adalah terhadap kesihatan mereka sendiri. Dimana antara kesan yang dianggap kronik akaibat pencemaran air yang berlaku adalah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkahlaku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan akibat penggunaan sumber air tersebut. Kesan pencemaran air ini juga memberi kesan yang banyak kepada organisma laut di perairan cetek kesan daripada tumpahan minyak ke laut. Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia akan membentuk lapisan minyak yang boleh mengancam hidupan laut serta burung. Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Hidupan air seperti ikan, siput, udang atau ketam akan mati dengan tumpahan minyak, pembuangan sampah dan sisa toksid yang dicemarkan. Selain dari itu pencemaran toksid yang masuk ke dalam air akan menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan petuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut.


PENCEMARAN BUNYI

Pengenalan

Pencemaran bunyi adalah salah satu daripada pencemaran alam. Jika pencemaran alam sekitar yang lain memberi impak kepada ekologi, ekosistem dan penghuni alam, pencemaran bunyi memberi kesan langsung kepada manusia. Bunyi bising bukanlah sesuatu perkara asing kepada kita. Kebisingan yang berlaku berbeza antara satu sumber dengan sumber yang lain. Gangguan yang berlaku juga bergantung kepada persepsi individu masing-masing sama ada boleh bertoleransi atau tidak.

Misalnya ada orang yang cepat melenting jika mendengar bunyi motor yang bising tetapi ada orang yang masih boleh bertahan ke suatu tahap yang lebih tinggi. Seperti juga pencemaran air dan udara, bunyi juga boleh dianggap sebagai suatu pencemaran kerana ia menyebabkan gangguan. Walau bagaimanapun, pencemaran bunyi ini biasanya tidak mendapat perhatian khusus seperti pencemaran air dan udara kerana mungkin disebabkan sifat tidak boleh dilihat serta kehadiran yang biasanya akan lenyap dalam suatu jangka masa yang singkat.

Pada masa kini, aktiviti manusia seharian dan perkembangan teknologi telah menyebabkan paras bunyi menjadi semakin tinggi berbanding zaman dahulu. Sebagai contoh, bilangan kenderaan di jalan raya telah semakin meningkat, bilangan penduduk yang bertambah menyebabkan aktiviti-aktiviti sosial boleh menghasilkan bunyi bising serta penciptaan kapal terbang dan jet merupakan antara beberapa contoh pertambahan bunyi di persekitaran. Oleh yang demikian, menurut Hamidi Abdul Aziz (2008), pencemaran bunyi pada masa ini telah mula diberi perhatian serius lebih-lebih lagi apabila bunyi dikaitkan dengan kesihatan manusia. Keadaan kesihatan yang dimaksudkan antaranya adalah kerosakan pendengaran pekerja di persekitaran yang bising juga telah memungkinkan standard bunyi diperkenalkan.

Menurut OECD (1975), perhatian kurang diberikan kepada bunyi bising berbanding pencemaran lain kerana beberapa faktor antaranya adalah bunyi bising merupakan suatu masalah setempat. Dimana ia berlaku di kawasan yang berhampiran dengan sumber bising sahaja. Ia tidak dipindahkan dalam jarak yang jauh sama ada melalui udara mahu pun melalui air. Selain itu, faktor kesukaran untuk mengenalpasti kesan-kesan kerosakan segera akibat terdedah kepada bunyi bising dalam keadaan normal. Keadaan ini menyebabkan masyarakat kurang sedar akan bahaya pencemaran bising dan seterusnya kurang memberikan perhatian terhadapnya.


Punca Bunyi Bising

Sumber utama pencemaran bunyi bising boleh dibahagikan kepada tiga sumber iaitu kebisingan pengangkutan, industri dan pembinaan serta kebisingan dari manusia. Kebisingan yang berpunca daripada pengangkutan boleh dibahagikan kepada tiga punca utama iaitu lalulintas, kapal terbang dan keretapi. Lalu lintas merupakan punca utama pencemaran kebisingan komuniti di bandar-bandar utama. Secara umumnya terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kebisingan lalu lintas antaranya adalah permukaan jalan dan jenis jalan, kelajuan kenderaan, nisbah laluan lori, kecerunan dan persimpangan jalan dan keadaan cuaca.
Kebisingan kapal terbang amat ketara bagi komuniti yang tinggal berhampiran dengan lapangan terbang. Kebisingan kapal terbang bergantung kepada jenisnya, kuasa enjin dan keadaan operasi di lapangan terbang. Masalah kebisingan dari sumber keretapi lebih ketara di kawasan tertentu sahaja, misalnya di kawasan luar bandar yang biasanya terdapat landasan keretapi yang melaluinya. Punca utama kebisingan adalah daripada roda dan landasan keretapi.

Kebisingan daripada operasi industri adalah daripada mesin dan peralatannya. Paras tekanan bising industri adalah sukar ditentukan disebabkan saiz dan bentuk pelbagai industri di samping mempunyai gelombang pelbagai sumber kebisingan. Operasi pembinaan pula bersifat sementara, namun untuk projek besar ia akan memakan masa yang lama. Kebisingan ini biasanya dihasilkan oleh penggunaan jentera dalam proses pembinaan. Penanaman cerucuk biasanya mengeluarkan bunyi yang kuat kerana hentakan besi cerucuk dan enjin mesin hentakan. Kebisingan pembinaan juga dihasilkan oleh mesin pembancuh simen, trak pengangkut dan janakuasa yang digunakan.

Kebisingan daripada aktiviti harian manusia dan suara manusia juga menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi. Kebisingan ini termasuklah berpunca daripada radio, televisyen dan sebagainya serta daripada binatang peliharaan seperti anjing. Kebisingan ini amat ketara di kawasan-kawasan perumahan berkepadatan tinggi.

Kesan Pencemaran Bunyi

Apabila kita membincangkan tentang kebisingan, secara tidak langsung kesan-kesan kebisingan juga perlu dibincangkan kerana kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat. Kebisingan dikenal pasti meninggalkan kesan negatif kepada kesihatan manusia. Kesan kebisingan boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan biologikal dan psikologi serta kesan ke atas ekonomi. Kesan biologikal dan psikologi boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu gangguan komunikasi dan pendidikan, kesihatan dan habitaliti. Manakala kesan kepada ekonomi pula ialah dari segi nilai harta benda.

Bunyi bising boleh mengganggu komunikasi misalnya percakapan secara langsung atau melalui telefon. Kebisingan juga boleh mengganggu kenikmatan mendengar radio, televisyen, waktu pembelajaran serta waktu rehat seseorang. Kebisingan yang melampau juga boleh mengakibatkan kesan negatif kepada pendengaran. Kesan yang nyata adalah seperti pekak dan pengurangan keupayaan pendengaran. Rosen (dalam Mulholland, 1981) menyatakan bahawa bunyi bising boleh mengganggu pertumbuhan kanak-kanak misalnya kulit menjadi pucat, selaput lendir menjadi kering, usus kejang dan kerosakan buah pinggang.

Selain itu, gangguan dalam habiliti pula termasuklah perasaan terganggu, gangguan tidur dan pekerjaan. Bunyi bising selalu dikatakan sebagai suatu tekanan dalam kehidupan moden dan kemungkinan terjadinya sakit jiwa akibat bunyi bising tidak diabaikan. Walaupun bunyi bising mempengaruhi jiwa seseorang, tetapi adalah sukar untuk kita meramalkan sifat dan tahap kesannya kerana setiap individu mempunyai sifat dan tahap penerimaan yang berbeza. Kebisingan juga boleh memberi kesan kepada tahap kecekapan dalam melaksanakan pekerjaan. Kerja-kerja yang memerlukan daya kreativiti, percakapan atau kerja-kerja rutin yang memerlukan kepantasan yang berterusan amat mudah dipengaruhi oleh bunyi bising dan seterusnya mengakibatkan terjadinya banyak kesilapan.

Kesan gangguan bising kepada nilai harta benda boleh menjatuhkan nilai harta benda yang terletak berhampiran puncanya. Penyebab utama kepada kejatuhan nilai harta benda biasanya adalah berpunca daripada bunyi bising kenderaan, tetapi kesan ini hanya berkait dengan nilai tapak kediaman. Walau bagaimanapun, kesan ke atas penurunan nilai harta tanah mungkin lebih dipengaruhi oleh faktor kemanusiaan sendiri. Misalnya perletakan harta tanah di suatu lokasi yang dianggap istimewa seperti berhampiran dengan pusat bandar atau kawasan yang mempunyai kemudahan awam mungkin dianggap dapat mengatasi kerugian yang dialami akibat kebisingan. Oleh itu nilainya tidak akan turun walaupun terdapatnya kebisingan kerana keutamaan yang lebih tinggi diberikan kepada faktor kemudahan awam.

Langkah Mengawal Pencemaran Bunyi

Usaha pengawalan bunyi adalah sukar kerana bunyi memberi makna dan berkaitan dengan kehidupan. Bunyi yang kerterlaluan seperti dari kilang-kilang pula mendatangkan kesan tidak baik dan dalam masa yang sama negara menuntut pembangunan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Kerajaan diharapkan dapat mewujudkan lebih banyak lagi kawasan dan taman industri yang jauh dari kediaman. Ertinya zon pencemaran bunyi hanya berlaku di kawasan itu sahaja sementara itu mewajibkan pengusaha kilang menyediakan alat penghadang bunyi kepada pekerja yang sentiasa berada di kawasan bunyi bising.

Masyarakat boleh membantu pengurangan kadar bunyi bising walaupun tidak secara keseluruhannya dengan memperlahankan bunyi radio, muzik karaoke dan bunyi motorsikal yang telah diubah suai. Perkongsian kereta merupakan strategi serampang ”tiga” mata iaitu mengurangkan kesesakan lalulintas, mengurangkan kos dan mengurangkan pencemaran bunyi. Bunyi empat buah kereta dan ruang jalanraya dan tempat letak kereta bagi empat buah kereta telah diisi oleh sebuah kereta. Cara ini juga sangat digalakkan oleh kerajaan dan rakyat harus menyokong dan mempraktikan saranan itu.

Penggunaan alat dan jentera canggih dalam pembinaan mengurangkan kadar bunyi bising berbanding jentera lama. Penggunaan jentera canggih juga lebih mempercepatkan proses pembinaan terutamanya alat menanam cerucuk dan mengerudi. Projek kawasan perumahan berfasa yang memakan masa dan berhampiran dengan penduduk yang sedia ada amatlah perlu menggunakan jentera canggih walaupun iannya dilihat melibatkan kos yang besar.

Malaysia kerap menganjurkan kempen-kempen kesedaran contohnya kempen berbudi bahasa, kempen anti sumbang mahram dan kempen anti dadah. Kempen kesedaran berkenaan anti pencemaran bunyi juga sangat wajar dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Masyarakat terutama golongan sasar perlu diingatkan tentang nilai ”sepasang telinga”.


PENCEMARAN UDARA

Pengenalan

Udara merupakan faKtor yang penting dalam kehidupan, namun dengan meningkatnya pembangunan Bandar-bandar dan pusat industri, kualiti udara telah mengalami perubahan. Udara yang dulunya segar, kini telah kering dan kotor. Perubahan ini berlaku adalah disebabkan kemasukkan bahan pencemar ke dalam udara.

Jenis Pencemaran Udara

Pencemaran udara terbahagi kepada dua bahagian iaitu pencemaran udara primer dan pencemaran udara sekunder. Pencemaran udara primer adalah penghasilan sulfur monoksida dan karbon monoksida akibat daripada proses pembakaran yang tidak lengkap. Proses ini menyebabkan zarah-zarah yang halus terampai di udara dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan kita. Kebanyakan pencemaran udara primer ini dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan industri dan penggunaan dapur arang atau kayu.

Pencemaran udara sekunder pula adalah tindakbalas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk gas-gas yang tidak diperlukan oleh benda hidup. Sulfur dioksida memerlukan gas seperti karbon monoksida dan sulfur monoksida untuk membentuk gas yang lain. Sebagai contoh gabungan sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air akan menghasilkan asid sulfurik. Tindakbalas antara pencemar primer dengan gas-gas terampai di atmosfera akan menghasilkan peroksidasetil nitrat (PAN).

Punca Pencemaran Udara

Pencemaran udara boleh berpunca daripada pelepasan asap kenderaan, penghasilan bahan pencemar oleh kilang, pembakaran di tempat pelupusan dan pembakaran terbuka di bandar. Selain itu pembakaran hutan yang berleluasa juga akan menyebabkan pencemaran udara berlaku. Seperti yang kita dapat lihat kejadian jerebu yang berlaku tidak lama dulu. Bahan-bahan sisa bandaran seperti sampah sarap, sisa-sisa makanan dan sebagainya juga menjadi punca kepada pencemaran. Masyarakat juga menyumbang kepada punca pencemaran berlaku akibat daripada aktiviti membakar sampah, ada juga segelintir masyarakat yang masih memasak menggunakan arang atau kayu, merokok dan sebagainya lagi.

Kesan Pencemaran Udara
Akibat daripada pencemaran alam sekitar, kesihatan manusia turut terjejas . Di negara kita misalnya penggunaan kereta masa kini telah bertambah dengan begitu pesat berbanding tahun 1950an dan 1960an dahulu. Malangnya kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor telah menimbulkan banyak masalah misalnya pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam dan hidupan semulajadi.
Pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup . Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.


LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Memandangkan dunia sekarang sedang diancam bahaya pencemaran, langkah-langkah wajar dan berkesan patut diambil. Langkah untuk melindungi alam sekitar ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Ia adalah tanggungjawab semua pihak. Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh diambil oleh semua pihak dalam menangani isu alam sekitar yang semakin berleluasa di negara kita.
Pertama, penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Sebagai contohnya, tanpa teknologi moden, adalah tidak mungkin  untuk membersihkan tumpahan minyak di laut. Dengan adanya teknologi moden, sisa pepejal seperti surat khabar lama, majalah lama, kertas, kain, bahan plastik dan kaca dapat dikitar semula. Ini sudah tentu dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna.
Selain itu, bahan-bahan buangan industri pertanian boleh diubah kepada bahan-bahan yang berguna dan kurang bahaya. Sebagai contoh, sampah sarap boleh dijadikan bahan api untuk menghasilkan tenaga elektrik. Hampas pertanian seperti hampas kelapa sawit boleh digunakan untuk menghasilkan metana. Selain itu, dengan adanya teknologi moden, penapis udara telah dicipta dan dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian. Penggunaan petrol tanpa plumbum juga merupakan satu hasil daripada penggunaan teknologi moden. Ini dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam atmosfera yang bahaya kepada kesihatan manusia.
Penyelidikan ke atas minyak kelapa sawit sebagai pengganti bahan api fosil adalah satu usaha yang menggalakkan pengurangan pencemaran alam sekitar. Dengan adanya teknologi moden jentera-jentera dan mesin-mesin dapat diubahsuaikan menjadi kurang mencemarkan alam sekitar. 
Kedua, melalui penerapan Ilmu Pendidikan Alam dalam Kurikulum. Tanggungjawab untuk menjamin sebuah negara yang bersih bukan sahaja dipikul oleh kerajaan tetapi patut dipikul oleh semua pihak. Untuk membentuk rakyat yang bertanggungjawab kepada alam sekitar, mereka perlulah mempunyai kesedaran. Untuk memupuk kesedaran di kalangan rakyat, cara yang terbaik ialah melalui pendidikan. Sebab-sebab pendidikan alam sekitar ini perlu ialah kerana ia dapat membentuk sikap positif diri terhadap alam sekitar. Dengan adanya kesedaran pada seseorang individu, dia akan sedar tentang betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi dikekalkan. Ini kerana mereka sudah tahu apa masalah yang mungkin akan timbul akibat sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan alam sekitar.
Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dalam mata pelajaran Alam dan Manusia. Seterusnya adalah pada peringkat menengah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), khususnya dalam mata pelajaran sains seperti Biologi. Peringkat ketiga dan terakhir ialah pengajian tinggi melalui kursus Sains, Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum pula disampaikan melalui media massa. Antara media massa yang memainkan peranan yang penting ialah surat khabar, majalah, televisyen dan radio. Selain itu, terdapat juga agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan kempen dan ceramah.
Ketiga, peranan yang dimainkan oleh pihak Media Massa. Pada hari ini media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media massa tentang isu pencemaran, masyarakat umum akan berhati-hati dalam menanggani masalah pencemaran. Setakat ini, media massa yang paling banyak membuat pendedahan tentang isu pencemaran ialah majalah dan surat khabar. Televisyen juga ada membuat pendedahan ini contoh TV3 dan TV7 tetapi adalah terlalu sedikit ditekankan keutamaanya.
Keempat, mengadakan kempen melindungi alam sekitar. Dengan menyertai sesuatu kempen untuk melindungi alam sekitar, ia adalah sesuatu yang sihat dan amat digalakkan. Antara kempen-kempen yang melindungi alam sekitar ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya. Kempen-kempen ini dapat memberi kesan yang mendalam terhadap peserta-pesertanya. Pameran tentang alam sekitar juga boleh diadakan untuk memberitahu kepada masyarakat tentang isu-isu alam sekitar, sebab-sebab pencemaran, kesan-kesannya dan apa yang boleh dibuat untuk mengurangkan kadar pencemaran. Pameran sebegini boleh meningkatkan kesedaran dan mengajar masyarakat untuk melindungi alam sekitar.


KESIMPULAN
Malaysia sememangnya sebuah negara yang berkembang pesat serta maju dalam pelbagai bidang. Namun dalam kepesatan pertumbuhannya itu, ramai yang tidak menyedari bahawa ia juga membawa kesan sampingan terhadap alam sekitar. Kegiatan-kegiatan perusahan atau perkilangan asap-asap menyebabkan pencemaran udara dan pembuangan toksik menyebabkan pencemaran air. Selain itu,kegiatan pembangunan dan penerokaan hutan telah mengganggu sistem ekologi bumi dan mengakibatkan hakisan tanah. Terdapat punca-punca lain yang menyebabkan pencemaran alam, seperti kegiatan pengangkutan yang mencemarkan udara dan air, kegiatan perladangan dan sebagainya.
Kita sudah tentulah merasa jijik dan tidak selesa jika rumah kita berada dalam keadaan berasap, kotor dan busuk. Konsep ini harus diperkembangkan dengan menganggapkan bumi ini sebagai rumah kita. Bumi adalah satu-satunya planet yang membolehkan kita dan hidupan lainnya hidup bebas. Perasaan hormat harus diberikan kepada semua bentuk hidupan dan persekitaran yang menjadi jiran tetangga kita. Segala tindakan manusia mempunyai kesan yang mendalam terhadap alam sekitar. Perasaan hormat terhadap hidupan lain bermakna menghormati diri kita sendiri. Menjaga kesejahteraan alam sekitar supaya tidak tercemar bermakna menghormati keperluan kita untuk mendapatkan udara dan bekalan air yang bersih.
Memandangkan dunia sekarang sedang diancam bahaya pencemaran, langkah-langkah wajar dan berkesan patut diambil. Langkah untuk melindungi alam sekitar ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Ia adalah tanggungjawab semua pihak. Pengguna memainkan peranan yang terpenting dalam menangani masalah pencemaran. Jika semua pihak ini bekerjasama untuk menangani masalah pencemaran, sudah tentu bumi akan di panjangkan usianya. Alam sekitar yang bersih dan terlindung mencerminkan masyarakat yang harmonis dan sihat bagi menerajui pembangunan sains dan teknologi negara di masa akan datang.


BIBLIOGRAFI

Bugliarello,G. et.al, 1976. The Impact of Noise Pollution. New York : Pergamon Press.
Chambers L.A, 1962. Classification and Extent of air pollution problems. In Stern. A.C.(ed) Air Pollution, p.3-22.
Daryanto. 1995. Masalah Pencemaran. TARSITO, Bandung.
Dr. Ir Moestikahadi Soedomo. 1999. Pencemaran Udara. ITB, Jakarta.
Freeman, Hugh L. 1984. Mental Health and The Enviroment. Livingstone : Churchill.
Hamidi Abdul Aziz. 2008. Pencemaran Bunyi : Teori, Sumber, Perundangan dan Kawalan. Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Jasiman Ahmad. 1996. Pencemaran Alam Sekitar, Siri Pencemar Alam. Eddiplex Sdn.bhd, Kuala Lumpur.
Jasman Ahmad dan Siti Razmah Idris. 1996. Pencemaran Udara dan Bunyi. Mikamas.
Mansor Ibrahim dan Mohd Asri Abu Bakar. 1997. Pencemaran Bunyi Bising. Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
Mulholland, K.A. 1981. Noise Assesment and Control. London : Construction Press.
OECD (1975). Reducing Noise in OECD Countries, A Report of The Ad-Hoc Group On Noise Abatement Policies. Paris.
Sham Sani. 1982. Pembandaran Iklim Bandar dan Pencemaran Udara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Wark,K. dan Warner,C.F. 1981. Air Pollution : Its Origin and Control. Edisi Kedua. New York : John Wiley and Sons.
Zaini Ujang. 2000. Pengenalan Pencemaran Udara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. 2003.
_________.2009. Sources Of Water Pollution http://www.doe.gov.my/ms/content/punca-pencemaran-air-sungai. (dilayari 14 Januari 2009).
_________. 2008. Wikipedia Bahasa Melayu. http://ms.wikipedia.org/wiki/Pencemaran. (dilayari 7 Januari 2009).



No comments: